Pages

Tuesday 17 April 2012

Kelebihan Tarian Poco-poco

 

Tarian poco-poco adalah Tarian dari Sulawesi Utara digemari semua peringkat masyarakat

POCO-POCO yang kini menjadi kegilaan rakyat di negara ini membuktikan senaman tarian mendapat tempat di hati masyarakat. Tarian yang asalnya tarian tradisi masyarakat Yospan di daerah Papua dan Wayase di daerah Ambun, Indonesia, kini divariasikan menjadi tarian senaman menghiburkan.

Malah, tarian poco-poco atau maksud lainnya adalah tarian beramai-ramai ini menjadi wadah senaman yang dipertandingkan di kebanyakan agensi kerajaan dan swasta. Bukan saja golongan berusia malah murid tahun satu juga sudah ligat menggelek ala poco-poco.

Hakikatnya, nama poco-poco itu diilhamkan seniman dari Ternete berdarah Ambon iaitu Arie Sapulette, ia bermula apabila beliau menghadiri satu majlis keraian di sebuah daerah berdekatan kampungnya, pada majlis itu beliau melihat seorang gadis gempal menari sejenis tarian dengan bertenaga dan lincah.

Lantas secara tiba-tiba perkataan poco-poco yang membawa maksud gadis yang tubuhnya berisi dan lincah terbit dari mulutnya. Sejak itu, tarian yang ditarikan mengikut rentak gendang itu terus kekal dinamakan poco-poco sehingga ke hari ini.

Arie juga menjadi individu yang bertanggungjawab menggubah lagunya yang turut dinamakan poco-poco sejurus beliau berhijrah ke Jakarta pada 1995, lagu poco-poco popular di seluruh Indonesia dan dinyanyikan semula oleh penyanyi tersohor Yopie Latul.

Pensyarah Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Syed Mustapha Syed Yasin berkata, poco-poco bukan sekadar tarian biasa ia memiliki aura dan kekuatan tersendiri. Tarian yang berasal dari daerah kecil di Ambon di Sulawesi Utara, Indonesia, ini digemari semua peringkat masyarakat tanpa mengenal usia, tambahan pula gerakan tarian ini mudah dipelajari dan menghiburkan.

“Menariknya tarian ini mendapat sambutan menggalakkan malah, pertandingan tarian poco-poco juga diadakan dan menjadi sebahagian pendekatan gaya hidup sihat di agensi kerajaan serta mendapat tempat terutama ketika majlis keraian.

Gerakan asas poco-poco pada dasarnya mudah diikuti. Buat yang baru pertama kali mencubanya, walaupun badan tegak bagaikan tiang lampu, jangan khuatir kerana langkah tarian ini mudah diikuti. Dua langkah kecil ke kanan, kembali semula ke tempat, lalu langkah diundur satu atau dua langkah, seterusnya melangkah ke hadapan sambil berpusing.

“Begitulah seterusnya gerakan ini diulang-ulang, hingga si penari selesai memusingkan tubuh ke arah empat penjuru angin lalu kembali semula ke kedudukan asal,” katanya.

Selain zapin, tarian poco-poco juga menjadi alat bantu kecergasan yang popular di kalangan rakyat di negara ini gerakan yang dilakukan mengikut alunan muzik ala reggae yang tidak terlalu rancak dan sentimental bersesuaian dengan budaya masyarakat Malaysia terutama Melayu.

“Masyarakat kita masih malu melakukan tarian moden, tambahan pula yang berumur. Disebabkan itu tarian poco-poco, zapin dan joget lebih sesuai dijadikan tarian senaman kerana sifatnya lebih mesra rakyat.

“Justeru, tidak hairanlah tarian poco-poco diminati golongan berumur kerana ia lebih tradisional dan sifatnya ala joget namun lebih bertenaga. Kalau sebut salsa, tango dan balle pastinya makcik dan pakcik di rumah geleng kepala tapi apabila sebut poco-poco saya yakin senyum mereka lebih lebar itulah aura poco-poco,” katanya.

Selain poco-poco Syed Mustapha berkata, tarian perut atau lebih dikenali tarian gelek juga semakin popular di barat terutama Amerika Syarikat. Tarian gelek yang popular di negara Timur Tengah itu, kini menjadi satu perkhidmatan yang di tawarkan di beberapa pusat kecantikan dan gimnasium di Eropah.

“Tarian gelek berkesan dalam membantu menguatkan otot serta mendisiplinkan diri mengatur langkah dengan baik. Tarian ini menjadi asas senaman untuk kardiovaskular serta menjadikan tubuh bersifat mudah lentur,” katanya.

Mereka yang mengamalkan tarian gelek menggunakan banyak gerakan otot dalam badan baik untuk melancarkan pengaliran darah.

“Terdapat beberapa gerakan dalam tarian ini, ia sama ada dilakukan serentak atau berturutan. Langkah gerakan tarian gelek seperti, putaran pinggul, gaya ular, gerakan kepala dan goncangan sekitar abdomen.

“Alunan abdomen adalah asas tarian gelek. Putaran pada pinggul dilakukan secara berulang, tarian ini membantu membentuk pinggang menawan dan pinggul berotot. Malah, pakar percaya tarian gelek berkesan mengurangkan risiko osteoporosis,” katanya.

Beliau berkata, tarian itu baik untuk wanita bagi mengurangkan risiko sakit sendi terutama di bahagian lutut, tulang kering dan kaki. dengan melakukan gerakan gelek berulang-ulang ia meningkatkan pernafasan dan melancarkan degupan jantung.

“Malah, kajian membuktikan dengan melakukan tarian gelek ia mampu membakar, 300 kalori jika dilakukan selama satu jam.

“Selain itu, tarian ini mampu mengurangkan kadar stress kerana kebiasaannya apabila seseorang tertekan otot bahu, kepala, leher akan berasa tidak selesa. Dengan melakukan tarian gelek, regangan pada bahagian tadi diurut perlahan-lahan dan ia menjadi terapi yang baik,” katanya.

FAKTA
Keistimewaan tarian

Aktiviti berkaitan kelenturan otot (flexibility)

Kebolehan menggerakkan sendi dan menggunakan otot pada tahap sepatutnya. Meregangkan otot dikira sebagai flexibility. Tarian jenis ini boleh meningkatkan pengaliran darah.

Apabila tubuh lebih lentur (flexible), anda akan lebih mudah bergerak seperti mengikat tali kasut, mencapai barang di tempat tinggi dan anda memiliki tahap keseimbangan yang lebih baik.

Tarian mampu meregangkan otot. Cuba lakukan regangan 10 ke 12 minit sehari selepas aktiviti memanaskan badan yang ringkas.

Baik untuk kardiovaskular

Dengan mengamalkan tarian yang terpilih tubuh berupaya menggunakan oksigen secara efektif tetapi bergantung pada keadaan jantung, paru-paru dan otot.

Aktiviti kecergasan jenis ini meningkatkan jumlah oksigen yang dihantar ke otot yang mana membenarkan otot bekerja lebih lama. Aktiviti berjalan dalam tarian adalah sebahagian senaman

Mengurangkan risiko diebetes, beberapa jenis barah, serangan jantung, nafas pendek, tekanan darah tinggi, kegemukan, tahap kolestrol, tekanan perasaan.

Aktiviti kecergasan otot

Tarian senaman mampu melatih otot supaya lebih bertenaga dan berguna untuk aktiviti mengangkat barangan berat atau menguatkan otot supaya ia lebih lentur.

Kekuatan otot membuatkan anda berupaya mendukung anak, mengangkat barangan yang dibeli dari kedai tanpa rasa letih. Memiliki otot yang kuat melindungi sendi.

No comments:

Post a Comment

Leave Your Comment Here,...